1. PERCAKAPAN & TINGKAH LAKU
Ini merupakan perkara paling basic apabila kita hendak masuk ke hutan. Umpama masuk kerumah orang kenalah dijaga tingkah laku, kalau di rumah, jika buruk tingkahlaku, biadap tuturcara nya, mungkin dihalau oleh tuan rumah. Bezanya di hutan, mungkin situasi tersesat, disorok bunian akan berlaku. Apabila di hutan, kurangkan bercakap kerana takut kita berkata atau melakukan sesuatu yang tidak betul tanpa kita sedar. Kita harus sedar setiap langkah gerak geri kita diperhatikan, cuma kita tidak nampak.
2. TELUR & DAGING
Selalunya apabila berkhemah di dalam hutan, dua benda ini jarang dibawa kerana pada dasarnya ia adalah makanan makhluk bunian. Pernah terjadi sekumpulan pendaki yang mendaki membawa sepapan telur untuk digoreng apabila tiba di atas puncak. Pabila malam untuk sesi makan malam, mereka terkejut kerana semua telur yang masih elok, apabila dipecahkan didapati isinya kosong. Kata orang asli, ia umpama "cukai" yang dikenakan.
Daging pula merupakan penarik untuk haiwan-haiwan datang kerana baunya yang kuat, lagi-lagi apabila dipanggang. Kalau hendak dibawa juga tiada masalah tetapi risikonya ditanggung sendiri.
3. RUMPUT MATI & KAWASAN LAPANG
Apabila melalui sesuatu kawasan, haruslah kita peka dengan keadaan sekeliling. Jika kita melalui sesuatu kawasan yang menghijau rumputnya tetapi terdapat sekelompok kawasan yang rumputnya sudah mati, elakkan melalui kawasan tersebut. Kebiasaannya, kawasan tersebut merupakan tempat untuk orang asli membuang bisa. Bisa hutan ini bermacam, tidak kira yang nampak atau tidak nampak.
Jika kita melalui kawasan lapang pula yang seakan dibersihkan, jangan melalui kawasan tersebut ataupun mengotorkan tempat itu. Nanti ada pula yang disumpit atau parang terbang. Kebiasaannya ia adalah tempat orang asli untuk bercucuk tanam. Cara yang terbaik adalah cuba cari jalan lain atapun lalu di tepi tempat tersebut.
4. AKAR BERJUNTAI
Orang tua selalu berpesan, "Jangan digayut akar berjuntai, nanti ada teman mengintai".Nampak menarik bila kita ternampak akar pokok yang berjuntai seperti dalam filem Tarzan tu. Tetapi harus diingat, kebiasaannya ia adalah tempat orang bunian untuk bergayut / berbuai. Salah satu tempat bermain dan bergayut bagi orang bunian adalah akar yang berjuntai. Apa jadi apabila tempat permainan kita diganggu orang luar?. Pasti akan timbul rasa tidak puas hati. Sama juga orang bunian, peluang anda untuk disorok adalah tinggi.
5. MEMAKAI WANGIAN
Ingatlah, hutan bukanlah tempat untuk kita membeli belah atau bergaya. Hutan adalah tempat dimana penghuninya mempunyai seribu ragam. Setakat deodorant untuk mengelakkan ketiak masam mungkin tidak menjadi masalah. Andai disembur wangian mahal yang di beli di Pavilion mungkin mendatangkan bermacam masalah.
Ada haiwan yang alah pada wangian, ada juga yang tertarik pada wangian. Deria bau yang ada pada haiwan sangatlah hebat. Bukan seperti manusia, hanya mampu mengesan bau beberapa meter sahaja. Kebanyakan haiwan mampu mengesan bau berkilometer jauhnya. Andai wangian tersebut menarik haiwan yang tidak berbahaya, anda bernasib baik. Andai pak belang ataupun babi hutan yang timbul, lari tidak jejak tanah nanti.
6. TAPAK KAKI RUSA
Harus diingat, pemangsa utama rusa adalah harimau. Selalunya apabila ada rusa, dibelakangnya harimau mengikut. Apabila ternampak kaki rusa atau kelibatnya, jangan berasa seronok dapat melihat rusa sebesar kereta kancil. Kemungkinan besar sang belang menanti di belakang. Silap-silap rusa ditinggalkan, anda yang dia tunggu.
7. PANGGILAN NAMA
Sepanjang berada di dalam hutan, kurangkan menyebut nama haiwan secara terus. Contohnya harimau, boleh dipanggil Maybank. Seperti ketika zaman sekolah, ada panggilan tertentu kepada rakan-rakan yang hendak dikutuk tanpa dia tahu. Sama juga apabila berada di dalam hutan.
Jika berjalan secara berkumpulan, jangan suka menjerit ataupun memanggil nama kawan. Takut-takut ada benda lain yang menyahut. Benda ini banyak kali terjadi pada pendaki ataupun kaki pancing.
8. BERKHEMAH
Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum kita mendirikan khemah untuk bermalam. Jika berkhemah di kawasan aliran sungai / air terjun, jangan dirikan khemah terlalu hampir di kawasan tersebut. Lebih molek andai jauh sedikit dari kawasan tersebut dan kawasan perkhemahan agak tinggi kerana apabila hujan, kawasan yang rendah akan ditenggelami air apabila datangnya KEPALA AIR. Jika ada batu besar berhampiran aliran air, tandakan batu tersebut sebagai penunjuk paras air.
Elakkan berkhemah di bawah pohon buluh. Rimbunan buluh dan daun yang sudah mati kebiasaannya dihuni oleh makhluk berbisa seperti ular. Andai tiada tempat, bersihkan dulu kawasan tersebut dan pastikan kawasan sekeliling ditabur dengan belerang untuk tujuan keselamatan. Pohon buluh juga amat sinonim dengan makhluk khalus yang menjadikan pohon tersebut sebagai tempat tinggal.
Tidak digalakkan berkhemah di bawah pokok yang mempunyai ranting yang reput kerana kemungkinan khemah anda akan dihempap dahan patah terutama ketika musim hujan. Periksa dahulu pokok yang ingin dijadikan kawasan teduhan sebelum dijadikan tempat tidur.
9. MAKANAN
Setelah penat mendaki, pasti anda lapar. Apabila memasak, pastikan kuantitinya sesuai dengan kehendak perut anda. Jangan ada sisa makanan yang ditinggalkan ataupun lebihan makanan yang tidak dimakan. Kebanyakan haiwan amat peka pada bau makanan. Umpamanya, apabila terbiasa dengan nasi bujang tetapi tiba-tiba disajikan dengan nasi beriani line clear penang, nafsu makan anda pasti mencanak tinggi. Sama juga bagi haiwan seperti beruang, harimau dan lain-lain. Jangan terkejut ketika tidur, khemah anda diselongkar beruang ataupun gajah.
10. UNGGUN API
Kebanyakan orang melihat unggun api digunakan untuk memasak, memanaskan air dan sebagai pencahayaan. Seeloknya, sediakan kayu api yang mencukupi untuk sepanjang malam dan jangan biarkan unggun api terpadam sehingga terbitnya fajar. Andai terdapat ahli kumpulan seramai 5 orang,pastikan terdapat lima batang kayu yang berbara. Ia boleh dijadikan sebagai senjata andai pak belang, beruang atau gajah datang melawat, melainkan anda merupakan seorang komando ataupun orang asli.
11. BUNYI BISING
Kadangkala ada rakan mengeluh kerana bunyi cengkerik dan berbagai lagi yang didengari ketika mereka tidur di khemah. Itu adalah normal. Yang tidak normalnya apabila keadaan sekeliling menjadi sunyi sehingga dengkuran tidur rakan anda yang menyakitkan telinga. Menurut orang asli, apabila keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba, itu menandakan terdapat haiwan yang besar sedang memerhatikan kita. Andai ada bahan letupan seperti mercun, bakarlah mercun tersebut. Sekurang-kurangnya ia dapat menghalang haiwan liar daripada mendekati kita. Tetapi janganlah membakar mercun seperti sambutan hari raya, kelak akan dimaki rakan-rakan.
12. SULUH TIDAK TENTU ARAH
Apabila malam, jangan suka menyuluh di kawasan yang tidak penting. Takut tersuluh "secret admire" bermata merah pula nanti. Petua juga mengatakan kurangkan menyuluh muka rakan-rakan terutama ketika tidur.
0 komen :
Catat Ulasan