Kebiasaannya, setiap aktiviti yang hendak dilakukan, akan kami rancang seminggu sebelum tarikh yang dirancang. Kali ini saya ke Gunung Nuang via Pangsun pula. Gunung Nuang dapat dilalui melalui dua jalan iaitu via Pangsun dan via Janda Baik. Laluan melalui Janda Baik agak mudah iaitu sekitar hanya 2-4 jam sahaja berbanding via Pangsun yang mengambil masa 6-10 jam. Bagi yang tahu, Gunung Nuang merupakan tempat untuk membuat latihan bagi komando dan mereka yang hendak ke Gunung Kinabalu. Gunung Nuang ini merupakan antara tempat terbaik untuk menguji kekuatan stamina kita kerana keadaan trek yang agak teruk dan terus menaik sehingga ke checkpoint terakhir sebelum ke puncak.
Secara berseorangan sekitar jam 9 malam, saya bertolak dari Port Dickson menghala ke Hulu Langat iaitu tempat perjumpaan kami. Senang cerita, pintu masuk Gunung Nuang. Ada beberapa kumpulan yang telah tiba dan bersedia untuk mendaki pada malam itu juga. Kebiasaannya, kumpulan yang mendaki pada malam hari akan berhenti di pertengahan laluan iaitu di Kem Lolo dan bermalam di situ. Pada keesokan harinya baru akan meneruskan perjalanan mendaki ke puncak. Memandangkan di Kem Lolo terdapat aliran air sungai, ia agak memudahkan untuk mereka yang ingin berkhemah / bermalam di situ.
Agak lama saya menunggu ketibaan ahli lain sehingga dapat melelapkan mata untuk seketika dahulu sementara menunggu ketibaan mereka. Sekitar jam 12 malam, keseluruhan ahli kumpulan kami telah tiba dan persiapan dibuat untuk mendaki. Sekitar jam 1230 pagi, kami memulakan pendakian dengan penuh berhati-hati kerana banyak laluan yang bercabang. Laluan ini agak kurang mesra kepada pendaki memandangkan sejak dari permulaan laluannya sudah mula mendaki.
Agak kerap juga kami berhenti untuk berehat, sementara menunggu beberapa ahli yang agak ketinggalan di belakang. Sementara menunggu, kami bercerita tentang pengalaman masing-masing dan berborak santai sambil berkongsi cerita. Alhamdulillah, cuaca pada malam itu agak baik dan tidak hujan. Pendakian yang agak santai, kami tiba di Kem Lolo sekitar jam 3 pagi.
Tanpa membuang masa, kami terus mempersiapkan khemah sementara iaitu fly ground sahaja. Masih ada masa untuk menunggu pendakian pada pagi hari, kami mengisi perut dengan memasak bubur dan beberapa makanan lain seperti udang dan ayam. Selalunya apabila berkumpul beramai-ramai sebegini, jarang kita ada masa untuk tidur. Kebanyakan masa hanya diluang untuk berborak dan bergurau senda tanpa disedari sudah hampir menjejak ke waktu subuh.
Sekitar jam 7 pagi, kami mula mempersiapkan diri untuk pendakian seterusnya iaitu ke puncak. Masing-masing mula memasukkan keperluan penting seperti air dan makanan. Ini bukan kali pertama saya mendaki ke Nuang, jadi saya sudah tahu tahap keperluan air dan makanan. Sudah saya nasihatkan kepada rakan-rakan lain supaya membawa air dan makanan yang lebih.
Sekitar jam 8.30 pagi, kami memulakan pendakian ke puncak. Cuaca agak cantik dan dingin memandangkan hari masih pagi. Tidak panas dan tidak mendung. Mungkin kami memulakan pendakian agak awal dan sudah setengah jalan, keadaan trek agak selesa. Kami jangkakan hari tersebut akan menjadi sesak memandangkan ianya adalah hari Ahad, ternyata meleset. Mungkin ramai pendaki mendaki melalui Janda Baik, itu firasat saya.
Sekitar jam 1130, saya sudah mula rasa penggunaan air terlalu kerap. Bukan sebab saya yang kerap minum air tetapi ada rakan yang telah kehabisan air. Sudah diingatkan bawa bekalan air lebih. Yang menjadi mangsa adalah saya, terpaksa berkongsi air dengan mereka. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah menaiki Gunung Nuang. Ada juga yang menyangka pendakian dari Kem Lolo ke puncak hanya mengambil masa 30 minit sahaja. Aku hanya mampu gelak bercampur geram.
Saya nasihatkan kepada rakan-rakan yang ingin mendaki mana-mana gunung, cubalah untuk membuat sedikit research tentang tempat yang ingin didaki. Sekurang-kurangnya kita dapat sedikit bayangan bagaimana situasi pendakian. Perjalanan masih jauh, tetapi bekalan air sudah habis apabila tiba di Kem Pacat. Kami semua sudah mula kehabisan air dan hanya bergantung nasib pada pendaki yang turun daripada puncak. Alhamdulillah ada juga pendaki yang nampak kami kehabisan air, sudi menghulurkan air kepada kami. Nasib baik pengalaman sedikit memberi rangsangan supaya teruskan perjalanan tanpa putus asa. Minum air hanyalah untuk membasahkan tekak, bukan untuk mengembungkan perut sehingga kenyang. Dari Kem Pacat hingga ke puncak, saya langsung tidak menyentuh air kerana sememangnya sudah tiada air lagi untuk diminum. Saya anggap ini adalah cabaran sebenar dalam "survival"
Kerana geram dan mungkin pace yang agak laju, saya tiba agak awal berbanding ahli kumpulan lain. Sekitar jam 12.30 tengahari, aku sudah tiba di puncak dahulu bersama seorang lagi ahli kami iaitu Sid. Beliau merupakan sahabat kepada sahabat kami iaitu Anton yang berasal daripada Australia. Dia merupakan lead bagi kumpulan pagi memandangkan stamina beliau sangat bagus dan power! Satu benda yang membuatkan saya terasa tidak terlalu penat adalah dari mula pendakian, saya langsung tidak menyentuh rokok. Walaupun berhenti, saya menolak untuk merokok untuk menjaga stamina.
Firasat saya sememangnya tepat, apabila tiba di puncak, sudah ramai pendaki yang berada di puncak. Rata-rata mereka adalah mendaki melalui Janda Baik. Bukan semua orang yang mampu mendaki melalui Pangsun. Dan apabila kami tiba di atas, ramai yang mengucap tahniah kerana berjaya sampai ke puncak. Saya dan Sid meninggalkan kumpulan kedua agak jauh di belakang sekitar
Saya berehat secukup cukupnya kerana bekalan air sudah habis dan tiada makanan lagi. Berehat sambil menikmati keindahan sekeliling yang sangat indah. Nyaman, sejuk mata memandang. Ahli terakhir kami tiba di puncak pada pukul 2.30 petang dan kami beri sedikit masa kepada beliau untuk berehat sebelum memulakan perjalanan menuruni semula puncak.
Jam 3 petang, saya mengikut Sid yang sudah memulakan penurunan diikuti seorang lagi. Kami turun bertiga agak laju kerana saya sudah mula merasakan hari mulai mendung dan hujan akan tiba. Jangkaan saya tepat, hujan mula turun dengan lebat ditambah pula dengan kilat membuatkan langkah kami bertiga semakin laju untuk tiba di Kem Lolo. Memandangkan hari hujan, saya meletakkan tuala kecil di atas kepala dan menjadikan serapan air di tuala tersebut sebagai bekalan air. Mujurlah kepala masih waras untuk memikirkan idea tersebut. 100% bekalan air saya bergantung pada air hujan, telan sahaja lah walaupun rasa masin-masin sedikit.
Jam 4.40 petang, kami bertiga tiba di Kem Lolo dan mempersiapkan makanan untuk ahli-ahli lain yang akan tiba. Cuaca agak sejuk dan badan mula menggigil kerana kesejukan akibat hujan yang lebat. Selepas 30 minit kami menunggu, barulah ahli kumpulan pertama sampai dan diikuti ahli-ahli yang lain. Kami mendapat khabar bahawa terdapat seorang ahli kami yang mengalami masalah lutut dan tidak boleh berjalan dengan baik. Situasi ini kurang baik memandangkan hari semakin gelap dan sejuk. Mujurlah semua sudah bersedia dengan kelengkapan masing-masing untuk perjalanan malam.
Kami terkejut kerana terdapat seorang pendaki yang menuruni laluan berseorangan. Beliau berkata, beliau telah ditinggalkan oleh rakannya. Ini adalah sikap yang tidak patut dicontohi oleh pendaki lain. Dia memberitahu, kawannya telah memberi sms "already arrived home", betapa kecewanya kami dengan sikap rakan beliau. Kami memberi bantuan kepada beliau kerana tidak mempunyai apa-apa kelengkapan dan mengajak dia mengikut kami turun bersama.
Sekitar jam 8 malam, kami memulakan perjalanan turun dari Kem Lolo ke tempat permulaan. Pace kami yang agak perlahan memandangkan terpaksa memapah dua orang yang pada kami lutut mereka sudah 'kong'. Cuma yang ralatnya, apabila dalam keadaan begitu, cuba kurangkan bercakap dan dengar nasihat orang lain. Tapi apabila dua perkara tersebut tidak diikuti, maka saya putuskan untuk meninggalkan mereka dan ahli-ahli lain yang masih sudi menemani mereka.
Saya dan kumpulan pertama tiba di garisan penamat sekitar jam 11 malam. Terus kami mandi sepuas-puasnya sementara menunggu ketibaan ahli-ahli yang lain yang tiba sekitar jam 12 malam. Setelah semuanya tiba dan selesai, kami singgah di kedai makan dan kemudian bersurai. Terima kasih semua.!! Jumpa lagi kita di lain waktu.
Seksanya bce pgalamn bro...
BalasPadamSurvival tanpa air& mknn...
Alhamdulillah..slmt naik& turun.
Will try 2 hike Nuang when ready.
Tqvm 4 sharing