#LangkahJauh ke Medan,Indonesia
Ini merupakan "post" pertama saya untuk blog ini. #langkahjauh akan membuat sedikit review tentang pengembaraan ke Medan, Indonesia. Saya telah ke Medan, Indonesia sekitar bulan November 2014. Sememangnya pengembaraan yang tidak dirancang adalah suatu langkah yang sangat menarik dan seronok. Selalunya apa yang dirancang mesti tidak menjadi, jadi langkah terbaik adalah tidak merancang dan amalkan prinsip langgar . Satu perkara yang kita belajar apabila kita ke tempat orang adalah kita dapat mempelajari sesuatu perkara yang baru tidak kira dari segi budaya, pemakanan, pertuturan dan lain-lain lagi. Bukan sekadar ambil gambar, upload di Facebook tanpa ada apa-apa input yang baik untuk kehidupan kita. Satu perkara yang kita dapat apabila mengembara ini adalah dapat kenalan baru. Walaupun tidak kenal, tetapi apabila berbicara tentang perkara / minat yang sama, pastinya ia akan menjadi selesa apabila dibicarakan.
HARI PERTAMA
Penerbangan saya adalah pada waktu malam. Secara jujurnya hanya dua tiga orang sahaja yang merupakan kenalan saya. Selain dari itu tidak pernah bertemu dan bercakap. Tetapi apabila kali pertama bertemu, ia sesuatu yang hebat apabila kami semua seperti sudah lama berkenalan tanpa ada rasa janggal apabila berbicara. Itu adalah permulaan yang positif bagi saya.
Di KLIA 2 yang merupakan lapangan terbang yang terbaru di Malaysia, ia masih dalam proses menjadi "friendly" kepada pengguna yang menggunakan lapangan terbang tersebut. Manakan tidak, anda perlu berjalan jauh dari pintu masuk pemeriksaan imigresen sehingga pintu masuk pesawat. Bagi yang dalam kategori "berumur", ada pengangkutan yang disediakan untuk anda. Bagi yang masih bertenaga, inilah masanya anda untuk bersenam sebelum menaiki pesawat.
Ada kumpulan kami yang hampir terlepas dek kerana tersalah "check-in". Ketika pintu hampir ditutup dan kami sudah menjangka bahawa mereka pasti tidak dibenarkan lagi masuk ke pesawat, mereka memunculkan diri dalam keadaan mengah. Berdekah-dekah hilai tawa melihat mereka yang menyumpah kerana jarak pintu masuk yang agak jauh.
Kami tiba di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan. Menaiki bas mini, kami tiba sejam kemudian di tempat penginapan kami di bandaraya Medan. Disebabkan kepenatan, terlalu banyak gelak, banyak info yang saya terlepas dan tidak dicatit. Maaflah andai coretan ini bukanlah sumber maklumat yang terbaik untuk anda ke Medan.
Selepas "check-in", kami terus mencari kedai makan kerana keadaan masing-masing yang kelaparan dan laparkan nasi. Di sana, konsep makan yang dibuat adalah pelbagai lauk akan dihidangkan di atas meja, apabila selesai makan, pihak kedai / restoran akan mengira lauk yang diusik sahaja. Jadi, sebelum makan pastikan pilih lauk yang anda hendak makan sahaja.
HARI KEDUA
Hari kedua kami di sana, awal pagi kami telah memulakan perjalanan menuju ke Sibolangit dimana kami akan melakukan sedikit pendakian untuk ke air terjun Sibolangit. Perjalanan kira-kira 1 jam perjalanan diambil dari Kota Medan ke Sibolangit yang terletak di Sumatera Utara.
Kebiasaannya, air terjun Sibolangit ini dipanggil "Air Terjun Dua Warna" kerana keadaan airnya berwarna biru dan hijau.
Jalan menuju ke Sibolangit. Indah ciptaan Allah |
Pintu masuk menuju ke Sibolangit |
HARI KETIGA
Selepas aksi lunyai di Sibolangit, kami ke satu lagi tempat yang popular di sana iaitu Air Terjun Tongkat & Kolam Abadi. Perjalanan 1 jam dari Kota Medan ke Kolam abadi merupakan aksi penamat sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Ada sedikit pendakian untuk menuju ke Kolam Abadi & Air Terjun Tongkat. Berjalan dan mendaki sekitar 1 jam juga, ditambah lagi keadaan trek yang tidak begitu baik kerana hujan lebat menyukarkan lagi perjalanan kami. Kerap kali kami ketawa kerana ada diantara kami yang selalu tergelincir ketika mendaki. Gelak-gelak juga tetapi keselamatan harus diambil kira.
Jambatan menuju kolam Abadi |
Untuk menuju ke kolam abadi, kami perlu menuruni satu tangga yang berkedudukan 90 darjah dengan ketinggian sekitar 20 meter. Memang seram tapi apakan daya, itu satu-satunya jalan yang ada ketika itu untuk menuju ke Kolam Abadi & Air Terjun Tongkat. Sepatutnya keadaan air di sana adalah jernih kebiruan tetapi bukan rezeki kami kerana kami tiba dalam keadaan hujan yang lebat.
Setelah selesa pendakian, kami mandi sepuas-puasnya kira-kira 2 jam. Setelah selesai semuanya, kami terus menyambung perjalanan ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan untuk penerbangan pulang ke tanahair. Keadaan jalan yang agak sibuk merisaukan kami kerana takut-takut tidak sempat ke lapangan terbang dan terlepas penerbangan. Alhamdulillah, kami sempat sampai di lapangan terbang tepat pada masanya. Selamat tinggal Medan, ketemu kita lagi nanti!
0 komen :
Catat Ulasan