#LangkahJauh ke Jakarta, Indonesia
Masih lagi cerita tentang Indonesia cuma yang berbezanya adalah lokasi pengembaraan saya. Ceritanya begini, 3 hari selepas saya pulang ke Medan, saya ke Jakarta pula bersama rakan saya yang lain. Kalau mengikut kondisi kewangan yang telah rabak di Medan, saya batalkan hasrat ke Jakarta. Mengenangkan trip ini tidak ramai dan masih lagi berkisar tentang pendakian, saya turutkan juga. Biar berhabis duit tapi kenangan dan pengalaman itu yang paling penting kerana bukan semua orang boleh dapat. Ini semua gara-gara bila tiba promosi tambang murah terus saya beli tiketnya tanpa melihat pada tarikhnya dahulu. Sudahnya, hampir bertindih dengan tarikh ke Medan.
HARI PERTAMA
Dari Malaysia, hanya saya berdua bersama rakan saya, Gery berlepas ke Jakarta. Penerbangan kami pada waktu petang. Pada waktu pagi ada lagi tiga orang gadis yang telah berlepas ke sana dan menunggu ketibaan kami. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta sekitar jam 5. Kesilapan paling besar jika tiba pada waktu itu kerana pada waktu itu trafik di sekitar Jakarta adalah pada waktu puncak. "Macet banget" kata pemandu yang membawa kami. Keadaan kereta yang agak sempit dicampur lagi beg masing-masing yang agak besar menyebabkan saya kurang selesa sepanjang perjalanan.
Singgah sebentar untuk makan malam |
Perjalanan dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta ke Cibodas iaitu destinasi pertama kami mengambil masa lebih kurang 4 jam. Perjalanan yang memenatkan, tetapi keadaan cuaca yang sangat sejuk mengurangkan keletihan kami semua. Pada asalnya kami akan ke pulau, tetapi memandangkan keadaan laut yang agak bergelora, kami putuskan akan berkhemah di kaki gunung Gede yang terletak di Kebon Raya Cibodas. Pelbagai cerita mistik yang kami dengar dari rakan kami iaitu Ady dan Surya. Mereka merupakan kenalan kami yang bertanggungjawab membawa kami berjalan sekitar Indonesia. Kerana hari sudah malam dan keletihan mula terasa, saya gagahkan juga tidur walaupun masih terngiang tentang cerita mistik yang mereka khabarkan di sekitar kawasan perkhemahan kami itu.
HARI KEDUA
Kami bangun awal pagi sekitar jam 6 dan bersiap untuk ke destinasi seterusnya iaitu Air Terjun Cibeureum yang tidak jauh dari lokasi perkhemahan kami.
Berjalan kaki sekitar 10 minit dari tapak perkhemahan ke pintu masuk. Kami memulakan pendakian sekitar 1 jam untuk sampai ke Air Terjun Cibeureum. Alhamdulillah, cuaca yang cantik dan nyaman serta keadaan trek yang agak senang tidak memenatkan kami. Dalam keadaan yang sejuk, terasa menggigil badan apabila kami mandi di air terjun tersebut, sehinggakan kaki saya terasa kebas akibat air yang terlalu sejuk. Setelah selesai, kami turun semula dan menyambung perjalan menuju ke kota Jakarta untuk hari ketiga di sana.
Air Terjun Cibeureum |
Hari ketiga kami di Jakarta, kami menginap di satu kawasan yang agak padat tetapi terpencil. Saya sudah lupa nama tempat tersebut tetapi tempatnya mirip seperti di Chow Kit. Penuh dengan kenderaan lalu-lalang, peniaga yang menjual bermacam-macam barangan tetapi meriah. Disarankan apabila ingin ke sesuatu tempat di Jakarta, pengangkutan yang terbaik adalah dengan menaiki bas. Kerana apa? Kerana bas mempunyai laluannya sendiri tanpa perlu menempuh kesesakan yang teruk di Jakarta. Penjimatan masa yang agak banyak jika dibandingkan dengan teksi atau kenderaan sendiri.
HARI KEEMPAT
Kami memulakan perjalanan ke Bogor pada awal pagi sekitar jam 4. Menaiki teksi, kami ke Stesen Kereta Api Manggarai untuk perjalanan pertama pada jam 6 pagi. Perjalanan dari Jakarta ke Bogor mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Keadaan keretapi yang agak selesa ditambah pula dengan pemandangan yang indah sepanjang perjalanan tersebut. Selepas tiba di Bogor, kami perlu mengambil keretapi yang lain untuk perjalanan seterusnya iaitu ke Sukabumi. Perjalanan ke Sukabumi mengambil masa kira-kira 2 jam.
Tiba di Sukabumi, kami mengambil pengangkutan awam untuk ke destinasi penginapan kami iaitu di Buni Ayu. Perjalanan ini agak mencabar memandangkan pengangkutan yang kami naiki kurang selesa dan keadaan jalan yang begitu teruk serta sempit. Tidak ada kerusi empuk seperti di dalam keretapi, yang ada hanyalah kayu dan besi sebagai alas punggung. Perjalanan dari Sukabumi ke Buni Ayu mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan.
Sampai di Buni Ayu, kami bertemu dengan sekumpulan anak muda yang menginap di situ juga untuk melakukan aktiviti caving, sama seperti kami. Apa yang istimewa tentang Indonesia adalah, mereka mudah mesra pada orang luar walaupun baru kenal. Ternyata mereka menambahkan lagi happening dalam kumpulan kami. Bermacam-macam cerita kami kongsikan dengan mereka sehingga tidak sedar waktu berlalu dengan begitu cepat sekali. Kerap kali kami bertukar idea dan tempat menarik yang pernah dilawati. Seorang daripada mereka iaitu Ady, telah datang ke Malaysia untuk mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini dan saya telah membawa Ady ke beberapa tempat yang menarik di Malaysia.
Sungguh seronok melakukan aktiviti caving ini kerana bukan mudah untuk melakukan aktiviti di tempat yang cahayanya adalah terhad, bergantung sepenuhnya kepada headlamp yang dibekalkan. Sikap kerjasama itu yang paling saya suka. Di penghujung gua, keadaan gua yang agak sukar kerana diselaputi lumpur setinggi lutut kaki. Dek kerana sikap saling tolong menolong, kami berjaya juga keluar daripada gua tersebut yang mengambil masa kira-kira 2 jam.
Keesokan harinya, kami pulang ke Malaysia dengan seribu kenangan, pengalaman dan keseronokan. Indonesia !! Aku datang lagi !!
0 komen :
Catat Ulasan