6 PERKARA YANG KITA BELAJAR APABILA MENGEMBARA


Setiap manusia mempunyai keinginan diri yang pelbagai. Ada yang minatnya pada mengumpul sesuatu, ada yang terlalu obses terhadap binatang dan pelbagai lagi. Tapi itu bukan ceritanya. Ini tentang cara terbaik untuk mengenali erti kehidupan. Antara cara yang terbaik untuk mengenali kehidupan diri sendiri, orang lain dan sekelilingnya adalah dengan mengembara. Banyak perkara yang harus kita pelajari daripada mengembara. Antaranya :-

1. BUDAYA


Andai di negara sendiri, ia tidaklah begitu sukar untuk mengenali budaya mengenai sesuatu bangsa/kaum di negara sendiri. Tetapi bagaimana pula jika di luar negara?. Ia sangatlah perlu kerana lain tempat lain budayanya. Umpama membeli sebuah kereta baru yang perlu dibaca manualnya dahulu. Tidak salah dan tidak rugi untuk mempelajari budaya orang lain. Ia amat menyeronokkan sebenarnya apabila kita dapat mempelajari sesuatu perkara yang baru dan menarik. 

2. BAHASA & KOMUNIKASI

Di Malaysia, rakyatnya cukup bertuah kerana mempunyai 3 bangsa utama yang mempunyai bahasa yang berlainan. Bangsa Melayu dengan Bahasa Melayunya. Bangsa Cina dengan Bahasa Cina nya manakala Bangsa India dengan bahasa Tamilnya. Ianya bukan sahaja boleh digunapakai di negara sendiri malahan boleh digunakan di China dan India. Andai ke Indonesia yang bahasanya lebih kurang dengan bahasa Melayu, apa salahnya kita mempelajari bahasa mereka. Cukup bangga apabila orang luar mampu menutur bahasa kebangsaan kita, sama juga seperti mereka apabila kita mampu menutur bahasa mereka. Cara komunikasi juga berlainan, lain tempat lain ragamnya. 

Perkara ini penting memandangkan ia perkara utama yang perlu kita tahu jika di tempat yang begitu asing. Banyak perkara akan menjadi terbatas andai masalah komunikasi berlaku. Jika kita dapat memahami serba sedikit tentang bahasa mereka, mana tahu rezeki anda dapat tawaran harga yang murah dari segi pengangkutan, penginapan, makan, cenderahati dan lain-lain lagi. Saya suka ke Indonesia kerana mereka peramah!

3. IKHTIAR HIDUP


Apabila anda berada di tempat yang asing, segala keputusan yang dibuat adalah 100% bergantung pada diri anda sendiri. Contohnya, jika di negara sendiri, apabila anda kehabisan duit, anda masih lagi mampu meminjam wang daripada kenalan melalui satu panggilan sahaja. Selesai transaksi pinjaman, terus ke ATM berdekatan dan keluarkan duit. Selesai masalah anda. Tetapi, bayangkan apabila anda berada di ceruk Sumatera Barat, tiba-tiba anda kehabisan wang tukaran Rupiah. Apa yang perlu anda lakukan?. Menjadi peminta sedekah?. Menjadi pemuzik jalanan?. Itupun andai tahu bermain muzik. Andai itu terjadi pada diri anda, itu adalah PENGALAMAN kembara anda yang sangat berharga.

Pernah mengalami peristiwa beg duit dicuri dan kehabisan duit ketika di Filipina. Ikhtiar hidup dalam masa satu hari adalah untuk mendapat kembali duit belanja adalah membuat kerja pembersihan di gudang minyak. Bayangkan, tetapi apabila dikenang, itulah PENGALAMAN.

4. KENALI DIRI SENDIRI


Sifu saya yang jauh lebih power ilmunya mengenai pengembaraan ini pernah berkata 

"Keluar dari kelompok keselesaan diri sendiri dan pasti engkau akan kenal diri engkau yang sebenar".

Ya, banyak perkara yang kita tidak tahu tentang diri sendiri apabila berada di sekeliling yang sangat selesa. Apabila berada di tempat yang sekelilingnya sangatlah asing bagi anda, di situ anda akan mengenal diri anda yang sebenar. Kebiasaanya, anda akan berfikir di luar kotak pemikiran seperti kebiasaannya.

5. UKUR KEMAMPUAN DIRI

Selalunya orang yang betul-betul mahu mengukur kemampuan dirinya adalah orang yang mengembara secara solo. Segala keputusan, tindakan, ikhtiar terletak pada dirinya sendiri. Di situ, anda mampu melihat dimana tahap kemampuan anda menghadapi situasi yang tidak pernah dialami selama ini. 

Contohnya, anda mampu ke sesuatu tempat yang langsung tiada maklumat tentangnya di media sosial tetapi dengan bertanya dengan masyarakat di sana, melalui kertas peta, anda mempelajari sesuatu yang baru berbanding di negara sendiri yang hanya menggunakan GPS atau aplikasi yang terus memberi panduan ke lokasi yang ingin anda tujui.

6. MENCUBA PERKARA YANG BARU


Terasa rugi sangat apabila anda menjelajah ke sesuatu tempat yang baru atau asing tetapi tidak mencuba perkara yang baru yang sebelum ini tidak pernah anda lakukan. 

Contohnya, makanan. Setiap tempat berbeza rasanya, berbeza menunya, berbeza cara masaknya. Pastti setiap tempat yang dilawati ada makanan mereka yang unik atau tradisional yang perlu anda rasa. Itu tentang makanan.

Tarian contohnya, di Malaysia sahaja cukup banyak tarian yang ada. Ini salah satu sebab Malaysia antara negara yang kaya dengan tarian yang pelbagai yang cukup unik di mata pelancong. Sama juga di tempat lain yang tariannya tiada di Malaysia. 

Pengangkutan misalnya, mungkin di Malaysia anda tidak pernah merasa menaiki keretapi yang tingkapnya boleh dibuka, tetapi anda boleh merasanya di tempat lain seperti di Indonesia dan India.

Banyak lagi sebenarnya pengalaman yang boleh kita ambil ketika kita mengembara. Tanya pada hati apa yang kita mahu dan apa yang kita dapat ketika menjelajah di bumi yang maha luas ini. Teruskan berjalan tanpa rasa ragu-ragu.

Kongsi Di Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen :

Catat Ulasan