Bayangkan anda memandu di jalanraya yang kawasannya agak jauh dari tempat tumpuan dan jarang dilalui oleh kenderaan lain. Sedang memandu, tiba-tiba jalan menjadi sempit, selekoh tajam serta kiri dan kanan jalan adalah curam yang sememangnya anda tidak mahu lihat. Mungkin kerana jalan itu anda boleh terbunuh. Di sini kami akan berkongsi tentang 12 jalan yang dianggap paling bahaya di dunia.
1. OLD YUNGAS ROAD (BOLIVIA)
Terletak di Bolivia, anda lebih sanggup melalui lebuhraya daripada melalui jalan ini. Old Yungas Road ataupun dikenali 'Jalan Kematian' merupakan jalan yang dianggap paling berbahaya di dunia.
Jalan ini yang sejauh 40 batu menghubungkan La Paz ke Coroico merupakan jalan yang berada di tepi tebing yang sangat curam dan menghadap gaung yang luas. Tambahan pula jalan tersebut mempunyai banyak selekoh tajam. Mungkin apabila jalan tersebut sangat berbahaya, anda merasakan pemandu-pemandu di situ memandu perlahan, anda salah. Hampir 200 orang mati setiap tahun akibat lori, kereta dan bas awam yang terjunam ke dalam gaung.
2. KARNALI HIGHWAY (NEPAL)
Sama seperti di Old Yungas Road, jalan yang panjangnya 155 batu ini merupakan jalan yang banyak meragut nyawa. Terletak di Janakpur di Himalaya Barat Nepal, jalan ini mencatatkan kematian kira-kira 50 orang setiap tahun.
Permukaan jalan yang sangat buruk sehinggakan penunggang basikal juga sukar untuk melaluinya. Walaupun begitu, pemandangan di sekitarnya begitu menakjubkan tetapi anda pasti berkata tidak mungkin untuk melaluinya sekali lagi. Kenderaan di situ terpaksa melalui jalan yang lecak dan berlopak, lubang, runtuhan jalan dan jika tersilap langkah, pastinya kenderaan akan terjunam ke gaung.
3. ATLANTIC ROAD (NORWAY)
Dianggap sebagai salah satu perjalanan yang paling indah di Eropah, Atlantic Road mempunyai kawasan-kawasan yang sangat menakutkan. Jalan sepanjang lima batu ini menghubungkan pulau antara Kristansund dan Molde, mempunyai 8 jambatan. Jambatan yang dilalui bukanlah jambatan biasa kerana ia dibina untuk menahan ombak yang sangat besar dan angin yang kuat, kadangkala sehingga terjadinya ribut. Jika tidak bernasib baik, kenderaan anda akan dibadai ombak dan terjunam ke laut.
4. VITIM RIVER BRIDGE (SIBERIA)
Jika sekilas pandang, anda mungkin akan membaca "Victim" iaitu mangsa jambatan sungai. Tetapi tanggapan anda mungkin betul jika melihat akan keadaan jambatan tersebut. Reputasinya yang menjadi salah satu jalan paling bahaya di dunia memang patut diakui. Jika bernasib baik, ada orang yang akan melaporkan bahawa terdapat kenderaan yang terjunam ke sungai, jika tiada maka gagal dikesan la jawabnya.
Yang peliknya, walaupun keadaan jalan tersebut yang tidak selamat, ia tidak menjadi penghalang untuk kenderaan lain melaluinya dan sememangnya tidak ramai yang sanggup melaluinya. Struktur jalan yang sangat uzur dan keluasan yang tidak cukup luas untuk kenderaan besar, ditambah pula tiada penghalang di kiri dan kanan jalan menjadikan jalan itu boleh runtuh bila-bila masa sahaja.
5. GUOLIANG TUNNEL ROAD (CHINA)
Bahasa mudah untuk menunjukkan keadaan jalan di Guoling Tunnel Road ini adalah "Tiada kompromi terhadap kesilapan".
Jalan ini dibina oleh 13 orang penduduk kampung di Pergunungan Taihang (ramai daripada mereka meninggal dunia ketika pembinaan), keluasan terowong jalan di situ hanyalah setinggi 15 kaki serta 12 kaki lebar. Anda boleh melihat keindahan landskap di sekeliling dengan 30 "tingkap" yang dipotong daripada tebing. Bukan sahaja menjadi salah satu jalan paling curam di dunia, ia juga menjadi salah satu tarikan pelancong yang utama di kawasan itu dengan berjalan kaki.
6. JAMES DALTON HIGHWAY (ALASKA)
Jika anda pernah menonton rancangan Ice Road Truckers di History Channel, anda akan tahu bahawa lebuhraya ini sangat menyeksakan. James Dalton merupakan lebuhraya yang sangat teruk. Lebuhraya sepanjang 414 batu itu menghubungkan kawasan minyak Artic Sea dan tempat sekitarnya.
Pada musim sejuk, kawasan ini akan menjadi kawasan puncak yang menjadi laluan utama pemandu-pemandu trak. Dengan keadaan angin kencang dan jalan yang berais, jalan tersebut akan menjadi sangat licin dan merbahaya kepada pemandu-pemandu tersebut.
7. COMMONWEALTH AVENUE (FILIPINA)
Jalan ini bukanlah jalan yang terletak di pergunungan, curam dan mempunyai selekoh tajam tetapi ia juga merbahaya. Kenapa? Lebuh raya bandar sepanjang 7.5 batu ini sangatlah luas sehinggakan mempunyai 18 lorong untuk satu hala. Bagi penduduk tempatan, ia dikenali sebagai "Lebuhraya Maut" kerana jumlah kemalangan dan kematian yang tinggi sehingga mencecah ribuan kematian pada setiap tahun.
Ia disebabkan aliran trafik yang sangat padat, ditambah pula sistem saliran yang sangat mendukacitakan (banjir kilat ketika hujan lebat), ribuan kenderaan yang melaluinya menyebabkan anda tidak dapat melihat terdapat pejalan kaki yang berada di tengah-tengah jalan untuk melintas yang menjadi salah satu punca berlakunya kemalangan yang banyak.
8. FEDERAL HIGHWAY 1 (MEXICO)
Jalan ini merupakan jalan yang sangat lurus, iaitu sepanjang 1,000 batu di sepanjang Semenanjung Baja. Jalan ini banyak digunakan oleh trak pengangkut yang mengangkut barang ke bandar-bandar serta kampung-kampung terpencil. Terdapat juga kawasan-kawasan yang akan melalui pergunungan serta kawasan tebing tinggi. Apa yang lebih menakutkan adalah pemandu di sini tidak perlu melepasi ujian memandu di enam negeri Mexico, bermakna anda berkongsi jalan dengan orang yang mungkin tiada pengalaman memandu.
9. NANGA PARBAT PASS (PAKISTAN)
Keadaan jalan ini yang mempunyai kepanjangan 10 batu adalah tempat yang sangat merbahaya. Mempunyai ketinggian 10,000 kaki dari paras laut, jalan ini mempunyai gabungan struktur yang tidak stabil, jalan berbatu, ditambah pula anda menaiki kenderaan yang dipandu secara merbahaya. Oh, lupa pula jalanya tiada penghadang. Kecuraman jalan di situ melibatkan pendakian sejauh 6 batu dan keseluruhan jalan tersebut adalah daripada batu.
10. BR116 (BRAZIL)
BR116 yang dikenali sebagai Rodovia de Morte merupakan lebuh raya yang mencatatkan kematian yang banyak di Brazil. Keadaan jalan sepanjang 2,700 batu yang teruk, tidak dijaga dengan baik dan tidak stabil. Apa yang paling ditakuti adalah keadaan cuaca di sana yang tidak begitu baik serta beberapa tebing yang curam menjadi penyumbang terbesar kemalangan di situ.
Antara sebab jalan itu menjadi bahaya adalah, ia menjadi lokasi atau lubuk kepada kumpulan-kumpulan samseng, penyamun, perompak untuk aktiviti mereka di situ. Bersedia untuk dirompak?
11. STELVIO PASS (ITALI)
Terletak pada ketinggian 9,045 kaki di puncak Alps, Stelvio Pass merupakan salah satu jalan yang memberikan pemandangan yang cantik di dunia. Tetapi jalan ini juga menjadi jalan yang sangat bahaya kerana jalan yang berliku serta sempit, ditambah pula struktur jalan yang kurang baik. Pada musim sejuk, jalan-jalan di situ akan berais dan licin, tersilap langkah, kenderaan anda akan terjunam ke gaung.
12. KABUL-JALABAD HIGHWAY (AFGHANISTAN)
Terletak di "Lembah Maut", jalan ini sangat terkenal oleh serangan pihak Taliban. Pemandangan yang indah boleh membuatkan anda terleka seketika. Walaupun keadaan jalan tidaklah begitu teruk, tetapi jalanya agak sempit dan anda perlu berselisih dengan lori-lori yang kerap melaluinya, menjadikan perjalanan anda amat menakutkan.
0 komen :
Catat Ulasan