Sebuah gua yang masih lagi 'dara' telah di temui oleh seorang penjelajah Britain, Andy Avis di Taman Negara Mulu, Miri, Sarawak. Berita ini telah disahkan benar oleh Ketua Eksekutif (CEO) Perbadanan Perhutanan Sarawak, Wong Ting Chung.
Gua yang baru ditemui itu telah dinamakan "Conviction Cave (Gua Yakin)", nama yang diilhamkan sendiri oleh Avis yang telah membuat penemuan tentang gua tersebut pada 15 Oktober lalu.
Sebenarnya, Avis telah membuat penjelajahan di kawasan itu sejak daripada 1978 dan baru-baru ini telah menjumpai gua tersebut yang masih belum diterokai oleh mana-mana individu. Menjadi amalan biasa di seluruh dunia bahawa orang yang menjumpai sesuatu gua yang baru akan diberi keistimewaan memberi nama kepada gua tersebut.
Menurut Wong, antara keistimewaan "Conviction Cave" adalah pembentukan lapisan batu kapurnya dan menurut beliau, usia gua berkenaan boleh ditentukan berdasarkan lapisan tersebut.
"Belum ada sesiapa lagi yang pernah memasuki gua tersebut. Pribumi tempatan juga tidak tahun akan kewujudannya,"
Jarak dari ibu pejabat Taman Negara Mulu ke gua itu kira-kira 15 kilometer atau lebih kurang 2 jam berjalan dengan meredah laluan yang berceranggah. Oleh yang demikian, gua itu tidak sesuai untuk ekopelancongan kerana sukar untuk pelancong sampai ke sana.
"Gua ini tidak terusik sejak lebih enam juta tahun lepas dan oleh itu, penemuannya sangat penting," kata Wong.
Beliau berkata, kini terserahlah kepada saintis dan kerajaan negeri untuk membuat kajian sama ada gua ini boleh dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan atau tidak.
0 komen :
Catat Ulasan